Tingkat fokus murid dalam pembelajaran


Kanak-kanak yang mengikuti Kursus Pengaktifan Otak Tengah mewarna dengan mata ditutup bagi meningkatkan perhatian dan fokus di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pengaktifan otak tengah berupaya menguatkan memori murid dan membolehkan mereka lebih fokus dalam pelajaran.

Pengarah NHA Management And Consultant, Dr. Norlee Hazaniza Ahmad berkata, antara faedah lain setelah otak tengah diaktifkan termasuklah murid akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mampu mengawal emosi lebih baik, mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan kefahaman yang cepat.

''Menerusi program ini, murid diberi teknik pengaktifan otak tengah melibatkan fokus pendengaran dan penglihatan, kecekapan mewarna dan ujian IQ,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat kursus Pengaktifan Otak Tengah (KPOT) anjuran syarikatnya dan Mind Secret Enterprise di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kursus dua hari yang disokong oleh Unit Pendidikan Utusan Malaysia itu memfokuskan kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dengan modul pembelajaran mempraktikkan kegunaan dan mengaktifkan otak tengah dalam pembelajaran harian.

Kanak-kanak yang mengikuti kursus itu diberi latihan mengikut kaedah sains, psikologi, alam sekitar dan kaunseling termasuk latihan mewarna dengan mata ditutup bertujuan meningkatkan perhatian dan lebih fokus.

Demi mencapai hasrat itu, Zaihan Hasan Ali, 33, dan Azini Amin, 30, merupakan sebahagian daripada ibu bapa yang memilih KPOT untuk memastikan anak mereka menguasai pembelajaran dengan baik dan tidak ketinggalan ketika mengikuti pelajaran dalam bilik darjah.

Malah, pasangan itu tidak keberatan memperuntukkan sejumlah perbelanjaan menghantar anak mereka, Adam Zafran Haikal, 7, menyertai kursus tersebut.

Ketika ditemui pada akhir sesi kursus tersebut, Zaihan berkata, dia berasa terdapat perubahan pada tingkah-laku Adam terutama dari aspek tahap tumpuannya ketika diminta menyelesaikan tugasan mewarna.

"Saya dapati Adam lebih fokus dan serius dalam mengikuti arahan latihan yang diberikan oleh petugas, apa yang penting, Adam kelihatan fokus.

"Selepas dia menjalani kursus ini, diharapkan penguasaannya dalam pembelajaran ketika di bilik darjah akan meningkat malah lebih baik berbanding sebelumnya,'' kata Zaihan.

Dalam kursus itu juga turut diadakan persembahan murid tahun enam, Rania Riza Rifayani Hassan, dan murid tahun dua, Wazif Hanizam, yang mempamerkan hasil pencapaian mereka setelah mengikuti kursus pengaktifan otak tengah selama dua hari.

Rania Riza berupaya membaca dan menilai huruf serta nombor yang terpapar pada wang kertas RM10 termasuk tulisan pada muka surat belakang sebuah buku novel dengan mata tertutup.

"Saya mampu membaca huruf dan nombor pada wang kertas tersebut dengan hanya memfokus pada bau warna melalui otak tengah,'' jelasnya.

Dalam pada itu, kursus KPOT akan diadakan pada 23 dan 24 Mac serta pada 30 dan 31 Mac ini untuk peserta sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program KPOT atau berhasrat membuat tempahan program, boleh hubungi Norlee di talian 03-42854821\016-6066675 atau Husna (019-2016866).

Sumber : Norizan Abdul Hamid (2013, March 11). Tingkat fokus murid dalam pembelajaran. Utusan Malaysia Online. Retrieved March 17, 2013, from http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130311/pe_01/Tingkat-fokus-murid-dalam-pembelajaran

No comments:

Post a Comment