Showing posts with label berita. Show all posts
Showing posts with label berita. Show all posts

Membina ayat menggunakan kata kerja ada

Dalam binaan ayat yang menggunakan kata kerja tak transitif, sering dapat ditemukan kesalahan yang kadang-kadang kelihatan tidak ketara, kerana jikalau tidak diteliti konstituennya, memang ayat yang dibina itu gramatis.

Tetapi apabila dihalusi berdasarkan acuan atau rumus tatabahasa, maka jelaslah kesalahannya. Sebagai contoh, penggunaan kata kerja tak transitif ada dalam pembentukan ayat.

Perkataan ada bererti hadir, telah sedia dan wujud.

Perkataan ini digolongkan dalam golongan kata kerja tak transitif, dan oleh itu dapat bertugas sebagai predikat ayat. Contoh penggunaannya dalam ayat ialah:

(1) Tuhan ada.
(2) Ayahnya telah meninggal, tetapi ibunya masih ada.
(3) Di dalam sakunya itu ada wang kertas.

Selain maksudnya seperti yang tersebut di atas, perkataan ada dapat juga bererti mempunyai atau memiliki. Misalnya:

(4) Ahmad ada wang.
(5) Orang itu ada harta.

Kata nama wang dan harta dalam kedua-dua ayat (4) dan (5) itu bukan berfungsi sebagai objek ayat, kerana ada sebagai kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek.

Kata wang dan harta bertugas sebagai pelengkap dan merupakan kata nama sahaja, bukan frasa nama.

Hal ini dapat ditentukan apabila dalam sesuatu ayat itu kata nama yang hadir mempunyai potensi untuk disertai oleh kata ganti nama tunjuk ini atau itu sebagai penentu di belakang kata-kata nama itu, atau disertai kata bilangan dengan atau tanpa penjodohnya sebagai penentu di hadapannya, maka kata itu menjadi frasa nama.

Dalam ayat (4) dan (5) misalnya, perkataan wang dan harta tidak dapat disertai oleh ini atau itu lalu membentuk ayat (4a) *Ahmad ada wang ini, dan ayat (5a) *Orang itu ada harta itu; tambahan pula kedua-dua ayat ini tidak dapat dipasifkan menjadi (5c) *Wang ini diadakan oleh Ahmad, dan (6c) *Harta itu didakan oleh orang itu.

Oleh itu, kata wang dan harta tetap bertugas sebagai pelengkap, bukan objek.
Perhatikan pula ayat berikut ini:

(7) Omar memiliki kereta.

Perkataan kereta berkemungkinan untuk disertai kata bilangan atau kata penentu belakang lalu membentuk ayat

(7a) Omar memiliki tiga buah kereta, atau
(7b) Omar memiliki kereta ini, atau
(7c) Omar memiliki kedua-dua buah kereta ini.

Oleh sebab itu, perkataan kereta dalam ayat 7 ialah frasa nama yang berfungsi sebagai objek kepada kata kerja transitif memiliki.

Ayat aktif yang mempunyai kerja transitif dan mempunyai objek dapat dijadikan ayat pasif, misalnya:

(7d) Kedua-dua buah kereta itu dimiliki oleh Omar.

Jikalau kata kerja tak transitif tidak dapat disertai oleh frasa nama sebagai objek, maka bentuk ayat tersebut tidak gramatis, seperti ayat (8) yang berikut ini:

(8) Dia ada tiga buah kereta.

Ketidakgramatisan ayat (8) tersebut kerana tiga buah kereta merupakan frasa nama yang bertugas sebagai objek, padahal kata ada sebagai kata kerja tak transitif tidak memerlukan objek.

Oleh itu, sebagai gantinya, jika frasa tiga buah kereta hendak dipertahankan, maka bolehlah dipilih ayat yang gramatis seperti

(9) Keretanya tiga buah.

yang sama maknanya dengan (7a) Omar memiliki tiga buah kereta, walaupun kedua-dua ayat (9) dan (7a) mempunyai pola yang berlainan.

Demikianlah huraian ringkas berhubung dengan kata kerja tak transitif ada dalam bahasa Melayu. Oleh itu berhati-hatilah apabila membina ayat dengan menggunakan kata kerja ada ini.

Sumber : Utusan Malaysia

Pengerusi Kumpulan AmBank hulur RM1b bantu pendidikan

Pengerusi Kumpulan AmBank hulur RM1b bantu pendidikan
Tuanku Muhriz melancarkan Yayasan Azman Hashim sambil diperhatikan Azman (kiri) serta Tuanku Aishah Rohani dan Tunku Arishah (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, malam tadi. - Foto Muhd Asyraf Sawal 
Kuala Lumpur: Pengasas dan Pengerusi Kumpulan AmBank, Tan Sri Azman Hashim menyumbangkan RM1 bilion kepada Yayasan Azman Hashim yang memfokus bantuan dalam bidang pendidikan dan kebajikan.

Azman membuat sumbangan itu sempena majlis ulang tahun perkahwinannya ke-50 dengan Tunku Arishah Tunku Maamor, yang diadakan di sini malam tadi.

Turut mencemar duli ialah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tuanku Ampuan Besar, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Yayasan itu sebelum ini antara lain memberi sumbangan pembinaan kompleks bangunan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA) sebanyak RM7 juta, bangunan baru Fakulti Perniagaan dan Perakaunan Universiti Malaya (RM25 juta) dan Arena Sukan Universiti Sains Malaysia (USM) sebanyak RM10 juta.

Sumber : Berita Harian

Aktiviti sukan tidak bebankan guru, murid

Pelbagai program sukan yang dianjurkan di sekolah adalah sejajar dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang mahu melahirkan generasi murid di negara ini yang holistik, cemerlang serta seimbang dalam pencapaian akademik dan sukan.

Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Operasi Pendidikan) Kementerian Pelajaran, Datuk Sufa'at Tumin berkata, aktiviti atau pencapaian sukan di sekolah tidak boleh diabaikan kerana ia sama penting dengan akademik malah merupakan bentuk pembelajaran yang wajib diamalkan setiap pelajar.

Menurutnya, aktiviti sukan sekolah seperti pertandingan rumah sukan, merentas desa atau sukan daerah-daerah sudah lama dipraktikkan malah sudah sinonim di peringkat pendidikan rendah dan menengah bagi memastikan perkembangan murid seiring dengan akademik.

"Oleh itu, tidak timbul isu bahawa aktiviti sukan ini membebankan guru ataupun murid kerana ia bergantung kepada pihak sekolah menyusun atur program sukan tanpa menganggu pembelajaran murid,'' katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini.

Katanya, kepentingan murid melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan kokurikulum sekolah telah mula dipraktikkan sejak tahun 1985 dan kementerian seterusnya memperkasakan program itu menerusi pelaksanaan dasar Satu Murid Satu Sukan (1M1S).

"Jadi, 1M1S bukan lagi benda baharu kerana penyertaan murid dalam sukan sudah lama dipraktikkan cuma 1M1S ini lebih mempromosikan program sukan sekolah yang sedia ada.

"Sebelum ini, kita tidak mewajibkan murid terlibat dalam aktiviti sukan tetapi di bawah 1M1S setiap murid wajib terlibat dalam sukan selaras dengan keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan,'' kata beliau.

Usaha yang digerakkan itu, katanya, adalah satu tindakan berterusan ke arah memperkembang potensi murid secara menyeluruh dan bersepadu.

Ujar beliau, ia bertujuan untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan.

''Hal ini sekali gus melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara,'' ujarnya

Menurut Sufa'at, kegiatan sukan di sekolah boleh dijalankan dengan lebih terancang dan menepati matlamat sekiranya dilaksanakan berlandaskan tanggungjawab sebagai pendidik dan tidak menganggapnya satu kerja yang membebankan.

Pada masa yang sama, kata beliau, berdasarkan impak awal daripada pelaksanaan 1M1S, murid mempunyai peluang lebih terbuka untuk terlibat dalam aktiviti sukan yang sebelum ini didominasi murid cemerlang atau mereka yang aktif bersukan.

Misalnya, kata beliau, baru-baru ini kementerian menganjurkan Kejohanan Piala Menteri 1Murid 1Sukan khusus untuk murid yang tidak berpeluang mewakili sekolah dalam mana-mana pertandingan dan seramai 68,256 murid berpeluang menyertai pertandingan tersebut.

''Lebih ramai murid hadir mengikuti pemilihan mewakili sekolah ke pertandingan itu dan pihak sekolah tidak mempunyai masalah menyediakan wakil dan bagi kes ini, dua sekolah boleh dijadikan rujukan iaitu SMK Tasik Permai Ampang dan SRK Seri Indera di Kangar, Perlis,'' katanya.

Beliau memberitahu, dasar 1M1S juga tidak mengganggu masa pembelajaran murid kerana dilaksanakan mengikut penjadualan dan kemampuan pihak sekolah.

Selain itu, beliau memberitahu, murid yang berlatih atau menyertai kejohanan akan disediakan modul pembelajaran oleh pihak sekolah manakala atlet yang berlatih atau bertanding di luar negara pula pada tempoh masa agak lama, seorang guru akan mengiringi dan mengajar modul pembelajaran pada waktu malam.

"Keadaan ini kita sudah lama laksanakan misalnya, semasa Pandelela Rinong berlatih di China bagi persiapan Sukan Olimpik lalu, seorang guru mengiringinya bagi membantu dia dalam pembelajaran,'' katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Ungkapan 'demi untuk' kurang tepat, bersifat lewah

Dalam sesetengah tulisan, dapat kita temukan penggunaan ungkapan demi untuk. Dalam lirik lagu, ungkapan demi untuk ini menjadi pilihan pencipta lagu. Tujuan penggunaan demi untuk dalam binaan ayat ialah apabila ayat itu mengandung unsur penegasan. Perhatikan ayat-ayat contoh seperti yang berikut ini:

1. Demi untuk watan, kami rela berjuang bermati-matian.
2. Aku rela berbuat apa-apa sahaja demi untuk kebahagiaan kita.
3. Tindakan tegas pengetua sekolah ini wajar demi untuk kebaikan pelajar.

Betulkah ungkapan demi untuk dalam ketiga-tiga ayat tersebut itu?

Sebelum dipastikan betul atau salah penggunaan demi untuk tersebut, eloklah difahami akan maksud kata demi itu. Menurut Kamus Pelajar Terbitan Khas KBSM terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, demi mempunyai empat pengertian. Makna pertama berkaitan dengan perbuatan bersumpah, misalnya "demi Allah". Yang kedua membawa pengertian "kerana" atau "untuk", misalnya "demi kepentingan rakyat".

Dalam ayat 1, terdapat unsur "bersumpah". Dalam konteks ini, sesuatu penegasan itu menjadi lebih berat dan berkesan lantaran adanya tanggapan seakan-akan sumpah. Selain itu, semacam ada rasa lebih sedap jika dilafazkan bersama-sama kata untuk bagi memberikan penekanan yang lebih. Ayat 1 dirasakan lebih bertenaga jika kita hanya menggunakan demi atau untuk seperti ayat 1a dan 1b.

Bentuk ungkapan demi untuk itu sebenarnya menggugat kesempurnaan bahasa. Dalam berbahasa, kita perlu menitikberatkan kepersisan bahasa. Dalam hal ini, ungkapan demi untuk lebih baik diperbetul menjadi demi sahaja atau untuk sahaja, kerana demikian itu cara pengungkapan yang betul.Dari segi makna pula, kata sendi demi sama maknanya dengan kata sendi untuk. Oleh itu, sekiranya digunakan kedua-dua kata sendi demi untuk ini, samalah halnya dengan penggunaan dua perkataan yang bersinonim, seperti kita mengatakan saya saya atau aku ku, atau "*Dia berjaya lantaran kerana dia berusaha dengan gigih", atau "*Dia menangis kerana oleh sebab wangnya hilang" atau "*Dia akan gagal jika sekiranya dia tidak berusaha bersungguh-sungguh".

Dua pengertian demi yang lain ialah, yang pertama, membawa maksud sebaik-baik sahaja atau selepas, dan yang kedua ialah lepas satu, satu. Penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut ini:

1. (a) Demi watan, kami rela berjuang bermati-matian.
1. (b) Kami rela berjuang bermati-matian untuk watan.

Demikian juga halnya dengan ayat (2) dan (3). Ayat-ayat itu akan menjadi lebih persis jika menggunakan salah satu demi atau untuk, seperti yang berikut:

2. (a) Aku rela berbuat apa-apa sahaja demi kebahagiaan kita.
atau
2. (b) Untuk kebahagiaan kita, aku rela berbuat apa-apa sahaja.
3. (a) Tindakan tegas pengetua sekolah itu wajar demi kebaikan pelajar.
atau
3. (b) Untuk kebaikan pelajar, tindakan tegas pengetua sekolah itu wajar.

Oleh itu, ungkapan demi untuk itu kurang tepat dari segi tatabahasa kerana kehadirannya secara berpasangan menghasilkan bentuk bahasa yang lewah sifatnya.

4. Dia terus menangis demi mendengar berita buruk itu.
(maksud sebaik-baik sahaja atau selepas)
5. Direnungnya orang itu seorang demi seorang untuk mengenal pasti orang yang mencerobohi rumahnya.
(maksud satu lepas satu)

Begitulah huraian tentang penggunaan demi untuk dalam berbahasa. Oleh itu, bertukarlah kepada penggunaan bentuk yang lebih persis dan betul, iaitu demi sahaja atau untuk sahaja, tetapi bukan demi untuk.

sumber : Utusan Malaysia

Tingkat fokus murid dalam pembelajaran


Kanak-kanak yang mengikuti Kursus Pengaktifan Otak Tengah mewarna dengan mata ditutup bagi meningkatkan perhatian dan fokus di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Pengaktifan otak tengah berupaya menguatkan memori murid dan membolehkan mereka lebih fokus dalam pelajaran.

Pengarah NHA Management And Consultant, Dr. Norlee Hazaniza Ahmad berkata, antara faedah lain setelah otak tengah diaktifkan termasuklah murid akan mempunyai keyakinan diri yang tinggi, mampu mengawal emosi lebih baik, mempunyai daya kreativiti yang tinggi dan kefahaman yang cepat.

''Menerusi program ini, murid diberi teknik pengaktifan otak tengah melibatkan fokus pendengaran dan penglihatan, kecekapan mewarna dan ujian IQ,'' katanya.

Beliau berkata demikian selepas tamat kursus Pengaktifan Otak Tengah (KPOT) anjuran syarikatnya dan Mind Secret Enterprise di Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

Kursus dua hari yang disokong oleh Unit Pendidikan Utusan Malaysia itu memfokuskan kepada kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun dengan modul pembelajaran mempraktikkan kegunaan dan mengaktifkan otak tengah dalam pembelajaran harian.

Kanak-kanak yang mengikuti kursus itu diberi latihan mengikut kaedah sains, psikologi, alam sekitar dan kaunseling termasuk latihan mewarna dengan mata ditutup bertujuan meningkatkan perhatian dan lebih fokus.

Demi mencapai hasrat itu, Zaihan Hasan Ali, 33, dan Azini Amin, 30, merupakan sebahagian daripada ibu bapa yang memilih KPOT untuk memastikan anak mereka menguasai pembelajaran dengan baik dan tidak ketinggalan ketika mengikuti pelajaran dalam bilik darjah.

Malah, pasangan itu tidak keberatan memperuntukkan sejumlah perbelanjaan menghantar anak mereka, Adam Zafran Haikal, 7, menyertai kursus tersebut.

Ketika ditemui pada akhir sesi kursus tersebut, Zaihan berkata, dia berasa terdapat perubahan pada tingkah-laku Adam terutama dari aspek tahap tumpuannya ketika diminta menyelesaikan tugasan mewarna.

"Saya dapati Adam lebih fokus dan serius dalam mengikuti arahan latihan yang diberikan oleh petugas, apa yang penting, Adam kelihatan fokus.

"Selepas dia menjalani kursus ini, diharapkan penguasaannya dalam pembelajaran ketika di bilik darjah akan meningkat malah lebih baik berbanding sebelumnya,'' kata Zaihan.

Dalam kursus itu juga turut diadakan persembahan murid tahun enam, Rania Riza Rifayani Hassan, dan murid tahun dua, Wazif Hanizam, yang mempamerkan hasil pencapaian mereka setelah mengikuti kursus pengaktifan otak tengah selama dua hari.

Rania Riza berupaya membaca dan menilai huruf serta nombor yang terpapar pada wang kertas RM10 termasuk tulisan pada muka surat belakang sebuah buku novel dengan mata tertutup.

"Saya mampu membaca huruf dan nombor pada wang kertas tersebut dengan hanya memfokus pada bau warna melalui otak tengah,'' jelasnya.

Dalam pada itu, kursus KPOT akan diadakan pada 23 dan 24 Mac serta pada 30 dan 31 Mac ini untuk peserta sekitar Lembah Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Sesiapa yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program KPOT atau berhasrat membuat tempahan program, boleh hubungi Norlee di talian 03-42854821\016-6066675 atau Husna (019-2016866).

Sumber : Norizan Abdul Hamid (2013, March 11). Tingkat fokus murid dalam pembelajaran. Utusan Malaysia Online. Retrieved March 17, 2013, from http://www.utusan.com.my/utusan/Pendidikan/20130311/pe_01/Tingkat-fokus-murid-dalam-pembelajaran