Showing posts with label latar. Show all posts
Showing posts with label latar. Show all posts

Sejarah Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh (JHEOA)

Latar belakang masyarakat sekitar Kg. Bukit Gemuruh 
   Masyarakat Orang Asli sekitar Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh (JHEOA) terdiri daripada suku kaum Melayu Asli iaitu suku bangsa Semelai. Terdapat bukti arkeologi yang menunjukkan kaum Semelai ini telah menetap di sekitar Tasek Bera di Daerah Bera Pahang ini sejak lebih 600 tahun.(Gilbert Almedia,2002). Sebelum berlakunya darurat, penempatan masyarakat kaum Semelai adalah secara bertaburan di sekitar Tasek Bera, Sungai Triang, Paya Besar, dan Paya Badak. Terdapat juga masyarakat kaum Semelai yang menetap di sepanjang sempadan Negeri Pahang dan Negeri Sembilan. Bagi kaum Semelai yang berada sekitar sungai Bera, mereka telah membuka penempatan baru iaitu Kampung Bukit Gemuruh. Sebelumnya tempat ini telah pun dikenali sebagai bukit gemuroh kerana didapati waktu-waktu yang tertentu di kawasan ini mengeluarkan bunyi yang bergemuruh, bunyi tersebut datangnya dari sebatang anak sungai yang mengalir di kawasan tersebut.
   Setelah diduduki maka penduduk bersepakat memberi nama Kampung Bukit Gemuruh. Pada peringkat awalnya,hanya 30 ahli keluarga sahaja yang menetap di Kampung Bukit Gemuruh dan jumlah ini bertambah dari setahun ke setahun. Kini melebihi 80 ahli keluarga menetap di sini yang dipimpin oleh seorang Tok Batin (Batin Johari). Penduduk Kg Bukit Gemuruh masih terikat dengan pantang larang dan adat resam serta budaya yang telah diwarisi turun-temurun.

Sejarah Kewujudan Sekolah Kebangsaan Bukit Gemuruh.
   Pendidikan awal bagi masyarakat orang asli di sini telah bermula sejak tahun 1974 lagi, dengan terbinanya pondok kecil pertama yang telah dibangunkan secara gotong-royong oleh masyarakat setempat dengan bantuan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) daerah Temerloh. Pada tahun 1977 pihak JHEOA dengan kerjasama masyarakat kampung telah bergotong-royong menambah sebuah lagi bangunan sekolah beserta 2 unit rumah guru di atas tanah seluas seekar yang didermakan oleh Batin Han. Pada tahun 1974, seramai 23 orang murid mendaftar bagi memulakan sesi persekolahan pertama di sekolah ini. Dengan bantuan seorang tenaga pengajar iaitu Encik Othman bin Mali (salah seorang Pembantu Luar Bahagian Pendidikan JHEOA), sesi pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan. Bilangan murid ketika itu hanya melibatkan dua buah kampung sahaja iaitu Kampung Bukit Gemuruh dan Kampung Paya Buloh. Sistem persekolahan hanya setakat tahun 3 sahaja (tahap satu) ,manakala untuk tahap dua murid akan bersekolah di SK Bukit Rok (20km dari Bukit Gemuruh). Ini kerana terdapat kemudahan asrama di situ yang dapat menampung bilangan pelajar dan akhirnya dapat membantu anak-anak Orang Asli menerima ilmu sama seperti kaum lain. 
   Apabila pengambilalihan sekolah dari Jabatan Hal Ehwal Orang Asli(JHEOA) kepada Kementerian Pendidikan Malaysia, arus pendidikan di Kampung Bukit Gemuruh telah mula menampakkan perubahan. Bilangan murid semakin bertambah dan dalam data terkini 2013 murid di SK Bukit Gemuruh telah mencapai kepada 127 orang dan terdapat 17 orang murid lagi di kelas Pra sekolah. Hakikatnya, perpindahan sekolah dari bangunan lama yang tidak selesa ke bangunan sekarang yang jauh lebih baik, sesuai dengan perkembangan zaman. Pada Januari 2004 bangunan yang serba lengkap ini telah digunakan sepenuhnya dengan kemudahan yang dapat membantu anak-anak orang asli di sini belajar seperti di tempat lain yang lebih selesa.

Lagu Sekolah

Berilmu Berjasa slogan kami semua
Sekolah kami sayangi
Sehati sekata bekerjasama
Menjadi insan berjaya

Rajin dan berusaha,
Tabahkan hati ini
Menuju langit yang tinggi
Rela berbakti demi ibu pertiwi
Bersama bersatu hati

Berilmu dan terus berjasa
Jadi bangsa merdeka
Ganding bahu bersama
Seumur hidup berjasa

SK Bukit Gemuruh pasti cemerlang
Mari bersama jayakan
Kami berserah kepada Maha Kuasa
Tunaikanlah hasrat kami

Lencana Sekolah


Maksud Lambang Pada Lencana Sekolah

Warna 
Biru melambangkan keceriaan dan keharmonian yang hendak dipupuk sejajar dengan konsep “sekolah penyayang” dan seterusnya direalisasikan dalam masyarakat
Putih melambangkan kebersihan, kesucian dan integriti dalam melaksanakan tanggungjawab dan didalam kehidupan sehari-harian.
Merah melambangkan keberanian dan keyakinan diri dalam mencapai kejayaan.
Hijau melambangkan ketenteraman dan kehambaan warga SKBG semasa menuntut ilmu. Pandangan dan mentaliti global terhadap alam kehidupan. Keajaiban hidup yang luar biasa dalam keamanan dan keharmonian.

Objek
Perisai melambangkan kesediaan menangkis unsur-unsur negatif daripada menular di sekolah.
Buku melambangkan sumber ilmu yang membawa kepada kecemerlangan pendidikan. 
Alat Tulis melambangkan kesediaan yang ikhlas untuk terus menggunakan setiap
sumber yang ada dalam menimba ilmu pengetahuan
Ijazah melambangkan matlamat yang mesti dicapai oleh murid-murid SKBG
Lampu membawa maksud warga pendidik akan terus memberikan cahaya ilmunya kepada semua murid-murid SKBG 
Gigi Gear yang menjadi lambang teknologi bermaksud pendidikan sekolah ini mementingkan inovasi dan teknologi untuk pembangunan negara.
Tiga gelung berangkai membawa maksud keakraban antara warga SKBG, murid dan masyarakat.Warna pada gelung rotan melambangkan 3 rumah sukan yang terdapat di SKBG.

Piagam Sekolah

Kami warga SK Bukit Gemuruh (JHEOA) dengan penuh tekad dan iltizam berikrar dan berjanji akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk :

  • Membimbing pelajar-pelajar membentuk sahsiah yang mulia melalui pemupukan dan penghayatan dan amalan nilai-nilai murni berdasarkan kepada kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
  • Mendidik pelajar-pelajar untuk menghasilkan tenaga manusia yang produktif dan berinovatif berdaya juang dan berketrampilan dalam berbagai bidang ke arah pembangunan Negara.
  • Mewujudkan iklim sekolah yang bersih, menarik dan harmoni.
  • Membina budaya kerja cemerlang 
  • Membimbing pelajar-pelajar ke arah kecemerlangan akademik dan kokurikulum untuk menjadikan sekolah ini sekolah yang terbaik.
  • Menjadikan sekolah adalah faktor utama kepada kejayaan dan kecemerlangan pelajar
  • Memastikan ibu bapa /penjaga dan pelajar adalah pelanggan utama
  • Bersedia menerima dan melayan pelanggan yang berurusan dengan sekolah.
  • Meningkatkan kerjasama dan perhubungan yang erat dengan ibu bapa atau penjaga dan masyarakat 
  • Memastikan pembangunan dan aktiviti pendidikan dilaksanakan atas dasar kerjasama dan mesyuwarah


Matlamat Sekolah

1. Memimpin, Mengurus Dan Mentadbir Sekolah Dengan Cekap Dan Berkesan
    Memastikan :
  • Manual Prosedur Kerja dan Fail Meja sentiasa difahami dan dipatuhi
  • Kepimpinan, pengurusan dan pentadbiran berlandaskan amalan terbaik
  • Terdapat penambahbaikan yang berterusan dan pembangunan staf yang relevan dengan tugas.
  • Keutamaan berfokus kepada ‘core business’ dan motivasi warga sekolah
2. Menghasilkan Pelajar Cemerlang Dalam Kurikulum
    Memastikan :
  • Pengajaran dan Pembelajaran yang berkesan
  • Mekanisme pentaksiran yang dapat menguji pencapaian pelajar dengan betul
  • Guru yang berkebolehan, mahir dan cekap
  • Program pembelajaran yang mesra pelajar sepanjang waktu.
3. Melahirkan Pelajar Cemerlang Dalam Kokurikulum
    Memastikan :
  • Jurulatih berketrampilan dan berkesan
  • Kawasan sesuai untuk latihan
  • Jadual latihan yang berstruktur
  • Mekanisme pemilihan pemain yang tepat
4. Membimbing Murid Ke Arah Sahsiah Dan Disiplin Kendiri Yang Cemerlang
    Memastikan :
  • Program pembangunan insan dijalankan
  • Nilai-nilai murni sentiasa menjadi amalan harian
  • Guru sebagai role model pelajar
  • Semangat kerjasama dan tolong menolong sesama guru, pelajar dan staf sekolah
5. Mewujudkan Iklim Yang Selamat, Kondusif Dan Ceria
    Memastikan:
  • Landskap yang dirancang dengan baik
  • Sekolah kawasan yang selamat
  • Keadaan fizikal sekolah yang sentiasa dipantau dan dibuat pembaikan dan pemuliharaan
  • Kebersihan dan keceriaan sentiasa terjaga dan ada penambahbaikan.

Visi, Misi dan Objektif SK Bukit Gemuruh (JHEOA)

Visi
SK Bukit Gemuruh (JHEOA) ke arah menjadi sekolah murid orang asli terbaik daerah menjelang 2014

Misi
Melahirkan insan yang berilmu, beramal, berketrampilan dan berinovatif berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Objektif Sekolah
  1. Memberikan pendidikan peringkat sekolah rendah dan membolehkan murid-murid mempunyai asas yang kukuh sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah.
  2. Mewujudkan budaya rajin menimba ilmu dan memupuk minat dan sikap suka membaca di kalangan murid.
  3. Membimbing murid-murid ke arah perlakuan yang baik, bertanggungjawab, berdisiplin tinggi dan taat kepada perintah agama.
  4. Mengamalkan budaya ‘bersih’ di kalangan murid.
  5. Memberikan kesedaran kepada murid-murid tentang tanggung jawab mereka terhadap diri sendiri, keluarga, sekolah, masyarakat, bangsa, agama, dan negara.
  6. Melahirkan murid-murid yang cemerlang dalam akademik dan ko-kurikulum.
  7. Mengeratkan hubungan di antara sekolah dengan ibu bapa/ penjaga murid dan masyarakat.